KEJAYAAN Rasulullah s.a.w membina negara Islam daripada masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan membuktikan Islam mementingkan perpaduan dan keamanan.
Sebuah negara Islam bukan bermaksud semua warganya memiliki pegangan agama yang satu.
Titik persamaan dalam mencapai tuntutan hidup dijadikan asas pegangan kepada semua pihak bersatu tanpa memikirkan perbezaan kepercayaan, fahaman, budaya dan keturunan.
Bagi memenuhi keperluan dan tuntutan hidup, kita dibenarkan syarak bersatu dan bersepakat dengan masyarakat bukan Islam asalkan ia tidak menyentuh perkara membabitkan soal akidah.
Tiada istilah tolak ansur dalam menangani sebarang isu berkaitan soal akidah. Mengetepikan soal akidah serta bersikap sambil lewa mengenainya bermakna seseorang itu tergelincir daripada landasan Islam.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku." (surah al-Kafirun, ayat 4-6)
Masyarakat Islam, Yahudi dan golongan munafik yang mendiami bumi Madinah disatukan dengan satu piagam yang cukup bermakna berdasarkan situasi dan keperluan mereka. Piagam Madinah adalah antara langkah pertama yang dilakukan dalam pentadbiran Rasulullah s.a.w.
Masyarakat bukan Islam yang terdiri daripada tiga kaum utama Yahudi di Madinah iaitu bani Nadhir, Qainuqa' dan Quraizah diberi perlindungan serta kebenaran mengamalkan kepercayaan masing-masing.
Segala hak mereka selaku sebahagian daripada warga negara Madinah tidak dinafikan sama sekali, malah diiktiraf masyarakat Islam yang mendiami bumi Madinah.
Allah s.w.t menjelaskan keadaan ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) daripada orang musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikit pun dan mereka tidak menolong seorang pun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertakwa." (surah al-Taubah, ayat 4).
Bagi menjamin keutuhan Piagam Madinah, ia melindungi orang yang bersetuju dan mengambil tindakan terhadap mereka yang ingkar.
Ini yang akhirnya membawa kepada penyingkiran kaum Yahudi dari Madinah kerana mereka melanggar persetujuan yang dimeterai bersama.
Firman Allah s.w.t dalam al-Quran yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang engkau telah mengikat perjanjian setia dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian setianya pada tiap-tiap kali, sedang mereka tidak mahu memelihara dirinya (dari keaiban mencabuli perjanjian itu)." (surah al-Anfal, ayat 56)
Kerangka sebuah negara Islam Madinah seharusnya dijadikan contoh ikutan kerana ia sangat praktikal untuk negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang agama, bangsa dan keturunan.
Dalam konteks Malaysia, pemahaman, pegangan dan penghormatan rakyat terhadap Perlembagaan Malaysia adalah resipi terbaik bagi mempertahankan kesejahteraan negara.
Konsep 1Malaysia selari dengan tuntutan agama kerana ia bermatlamat mengekal dan meningkatkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
Melalui konsep ini, setiap rakyat mempunyai hak yang sama dari sudut sosial, keselamatan, undang-undang, ekonomi serta pendidikan.
Inilah keindahan Islam yang mementingkan prinsip keadilan dalam setiap tingkah laku pengikutnya lebih-lebih lagi yang membabitkan soal pemerintahan sesebuah negara.
Allah s.w.t menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil." (surah al-Mumtahanah, ayat 8)
Namun, dalam usaha mulia mengukuhkan hubungan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini, umat Islam tidak harus alpa terhadap keperluan untuk mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama saudara Islam yang ditunjangi oleh asas akidah Islamiah.
Firman Allah s.w.t menjelaskan berkenaan perkara ini yang bermaksud: "Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Aku-lah Tuhan kamu; maka bertakwalah kamu kepada-Ku." (surah al-Mu'minun, ayat 52)
SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20100101124245/Article/indexv_html
No comments:
Post a Comment