Monday, July 27, 2009

News Review (Persatuan Angkasawan dilancar Julai)

KOTA BHARU 22 Mei - Persatuan Angkasawan Negara yang diusahakan penubuhannya pada awal tahun ini, akan dilancarkan Julai ini bagi membantu menyemarakkan minat dan penglibatan rakyat dalam bidang angkasa.

Angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berkata, persatuan ini akan turut didokong oleh 59 calon akhir angkasawan tempatan yang terlibat dalam program angkasawan negara.

Menurutnya, persatuan tersebut akan bergabung tenaga dengan pelbagai pihak menjelajah negara bagi menyebarkan maklumat berkaitan bidang astronomi dan angkasa kepada orang ramai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Angkasawan Pulang ke Gagang, di Kolej Poly-Tech Mara, Kampus Kejururawatan 2, Kemumin, Pengkalan Cepa di sini hari ini.

Seramai 500 pelajar program kejururawatan kolej menyambut kedatangan Dr. Sheikh Muszaphar dan mendengar dengan penuh minat pengalaman serta cabaran yang dihadapi oleh beliau dalam misinya.

Turut hadir Pengarah kolej, Hasbullah Seman dan Timbalan Rektor Kolej Poly-Tech MARA, Dr. Fatanah Mohamed.

Katanya, maklumat akan disebarkan terutama kepada kanak-kanak dan remaja sebagai galakan kepada mereka untuk berjaya berjaya dalam pelbagai bidang yang bakal diterokai.

Contohnya, ujar beliau, kedatangannya itu diharap dapat memberi inspirasi kepada golongan jururawat melonjakkan status karier bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi hingga ke peringkat antarabangsa.

Sumber Berita:

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0523&pub=utusan_malaysia&sec=dalam_negeri&pg=dn_20.htm&arc=hive

No comments:

Post a Comment