Monday, July 27, 2009

News Review (RM722).

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Sejumlah RM401,425.96 berjaya dikutip selepas seminggu Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap) anjuran Kumpulan Utusan dan Islamic Relief Malaysia (IRM) dilancarkan.

Sumbangan terbaru diterima daripada Masjid Mukim Pasir Pekan, Tumpat dan Persatuan Pegawai Pembangunan Masyarakat, Bahagian Perubatan Kementerian Kesihatan yang masing-masing memberi sumbangan RM5,000.

Turut memberi sumbangan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Bukit Mertajam yang menderma sebanyak RM2,773, UMNO Bahagian Kepala Batas (RM1,000) dan Kolej Poly-Tech Mara Kota Bharu (RM722).

Kutipan talian IRM pula mencatatkan sumbangan sebanyak RM21,200.

Dalam pada itu, Masjid Mukim Pasir Pekan, Tumpat menjadi masjid pertama di Kelantan yang menyumbangkan RM5,000 untuk Dakap.

Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan kira-kira 3,000 kariah masjid terbabit yang dibuat sejak minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Biro Ekonomi Persatuan Pegawai Pembangunan Masyarakat, Ahmad Ibrahim berkata, pihaknya memilih Dakap kerana yakin sumbangan itu akan disalurkan secara terus ke Palestin.

''Sumbangan ini merupakan peruntukan daripada tabung persatuan dan kita akan teruskan usaha untuk mengumpul sumbangan tambahan daripada 200 ahli di seluruh negara,'' ujarnya.

Dalam pada itu, Setiausaha UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Ahmad Darus berkata, pihaknya mengutip RM1,000 untuk tabung itu setelah sehari ia dilancarkan di Wisma UMNO kira-kira 9 malam tadi.

''Kami terpanggil untuk berkongsi keinsafan dengan seluruh rakyat Malaysia yang mahu penderitaan penduduk Palestin dihentikan,'' ujarnya.

Warga Kolej Poly-Tech Mara Kota Bharu juga tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan sebanyak RM722 untuk Dakap selepas mengadakan derma kilat sejak dua hari lalu.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kolej itu, Fadhlullah Bahrunnizam berkata, pihaknya percaya kutipan yang dibuat itu dapat mengurangkan kesengsaraan rakyat Palestin.

Orang ramai atau syarikat korporat boleh mendepositkan wang ke dalam akaun IRM menerusi akaun Maybank: 5621-4270-8704 atau akaun CIMB: 1259-0000-8040-58.

Mereka juga boleh menyumbang dengan menggunakan cek berpalang di atas nama ISLAMIC RELIEF MALAYSIA.

Selain itu, sumbangan atau cek boleh dihantar kepada IRM di semua biro Utusan Malaysia di setiap negeri.

Sumber Berita:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0117&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_16.htm&arc=hive

No comments:

Post a Comment