Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) menawarkan kursus-kursus kompetitif sama ada secara sepenuh atau separuh masa.
NAMA Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) bukanlah satu nama asing dalam industri pendidikan tinggi negara. Dengan keutuhan tradisi dan graduan berdaya saing yang dilahirkannya sejak 25 tahun lalu, kolej milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu terus unggul melahirkan insan berkualiti untuk masa hadapan.
KPTM merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi yang merupakan syarikat milik penuh Mara.
Menurut Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar KPTM, Dr. Fatanah Mohamed, keutuhan institusi pengajian tinggi swasta itu diasaskan berdasarkan gabungan dua institusi taraf tertiari terkemuka Mara.
“Kepakaran dan aset yang dimiliki oleh Kolej Yayasan Pelajaran Mara (KYPM) dan Akademi Infotech Mara telah digabungkan pada tahun 2003 untuk menghasilkan sebuah entiti yang lebih kukuh,” ujar Fatanah ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di KPTM Kuala Lumpur baru-baru ini.
Difahamkan, sejarah KPTM bermula pada tahun 1983. Kini ia mempunyai tujuh lokasi kampus di seluruh negara. Kesemua lokasi kampus itu menawarkan kursus-kursus kompetitif yang memenuhi keperluan negara masa kini secara sepenuh dan separuh masa.
Selain KPTM Kuala Lumpur yang merupakan kampus induk, kampus-kampus KPTM lain terletak di Kuantan, Pahang; Bangi, Selangor, Kota Bharu, Kelantan; Alor Star, Kedah; Ipoh, Perak dan Batu Pahat, Johor.
Pada masa ini, kolej tersebut menawarkan pelbagai program pengajian di peringkat profesional, ijazah pertama, diploma dan sijil.
“Kursus-kursus ini diadakan dengan usahasama institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa, selain daripada program yang disediakan oleh KPTM sendiri,” kata Fatanah. Antara program yang disediakan di kolej tersebut termasuklah bidang sains komputer dan teknologi maklumat, pengurusan perniagaan, perakaunan, kejuruteraan dan pengajian profesional seperti Association of Chartered and Certified Accountants (ACCA), ACCA Certified Accounting Technician (ACCA-CAT) dan The Institute of Chartered Secretaries and Administrators (ICSA)Program-program dalaman KPTM termasuk diploma dalam perakaunan, pengurusan perniagaan, sains komputer, sistem dan rangkaian komputer, maklumat perniagaan, teknologi maklumat, multimedia dan kejururawatan serta Matrikulasi ICSA.
Program usahasama dengan Universiti Conventry di United Kingdom adalah contoh usahasama KPTM dengan institusi pengajian tinggi luar negara.
Di bawah program ini, KPTM menawarkan peluang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang teknologi maklumat perniagaan dengan perniagaan antarabangsa; teknologi maklumat dengan perakaunan dan sains komputer.
Ia juga mengadakan usahasama dengan Universiti Thompson Rivers, Kanada dengan menawarkan program pengajian peringkat diploma dalam bidang sistem komputer, iaitu operasi dan pengurusan.
Program KPTM dengan seliaan UUM termasuk diploma pengurusan perniagaan dan teknologi maklumat, manakala usahasama kolej tersebut dengan UiTM menawarkan kursus-kursus seperti pra-diploma sains, perdagangan dan perakaunan.
Selain itu, usahasama dengan UiTM turut melibatkan program-program peringkat diploma dalam bidang sains, pengajian perniagaan, perbankan, analisis pelaburan, kejuruteraan elektronik dan kejuruteraan awam.
Kursus Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 2) Pembantu Juruteknik Sistem Komputer dan Juruteknik Sistem Komputer turut dianjurkan melalui usahasama dengan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan.
Sementara itu, program peringkat diploma eksekutif yang dijalankan oleh Pusat Pembelajaran Berdaftar UiTM pula dikendalikan oleh Pusat Pembelajaran Berterusan KPTM. Jalinan kerjasama ini melibatkan tawaran dalam bidang pengurusan korporat, teknologi maklumat, pejabat, peruncitan dan modal insan.
Memegang moto ‘Pusat Pembelajaran, Berpusatkan Anda’, Fatanah menambah: “Misi kami ialah menjadi sebuah institusi pengajian pilihan yang memberikan pendidikan yang holistik dan berkualiti dalam menghasilkan modal insan yang berilmu.”
Fatanah menjelaskan bahawa para pelajar KPTM bukan hanya terdiri daripada para pelajar Melayu tetapi institusi itu juga mengambil para pelajar daripada kaum lain.
Pengambilan pelajar oleh kolej ini dilakukan sebanyak dua kali setahun iaitu pada bulan Julai dan Disember atau Januari.
Beliau turut memaklumkan bahawa para pelajar yang layak akan menerima biasiswa tajaan Mara atau bantuan kewangan lain seperti daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Bank Rakyat.
Sehingga kini, Fatanah memaklumkan, KPTM mempunyai lebih 12,300 pelajar dengan bilangan tertinggi di kampus KPTM Bangi (3,239), diikuti Kuala Lumpur (2,847), Kota Bharu (2,426), Kuantan (1,463), Alor Star (981), Ipoh (749) dan Batu Pahat (629).
Sumber Berita:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0729&pub=Kosmo&sec=Akademi&pg=ak_06.htm
No comments:
Post a Comment